Bagi penduduk Malaysia, kita sudah terbiasa menggunakan lif. Bagi yang tinggal di rumah jenis kondominium dan apartment, lif menjadi alat pengangkutan yang penting. Keselamatan dan kualiti sebuah lif begitu diutamakan dan dititikberatkan sebelum ia boleh diguna oleh orang awam. Namun bak kata pepatah, malang tidak berbau. Kemalangan boleh berlaku di mana sahaja. Berikut merupakan 5 kemalangan tragis yang pernah berlaku dalam lif. Mujurlah tiada kes seumpama ini pernah berlaku di negara kita. Selepas ini, eloklah kita sentiasa berhati-hati dan berwaspada walau di mana kita berada.
1. Isaac Jordan
Isaac Jordan merupakan satu-satunya ahli kongres Amerika Syarikat yang terbunuh akibat kemalangan lif. Beliau lahir di Pennsylvania pada 1835. Selain menyandang jawatan sebagai ahli kongres, beliau juga merupakan pengasas Sigma Chi. Beliau meninggal dunia pada 1890, selepas pulang dari pejabatnya di Cincinnati, Ohio. Jordan menekan butang "paused" pada pintu masuk lift dan berpaling untuk menyapa sahabatnya. Ketika sedang berbual dengan rakannya, Jordan membelakangi pintu lift dan beliau tidak menyedari bahawa lift tersebut sudah bergerak ke tingkat atas dalam keadaan separuh dari pintu masih terbuka. Dengan pergerakan yang cepat dan masih menghadap rakannya, Jordan berundur ke arah pintu lift yang masih terbuka dan terjatuh.
2. Pennsylvania Electrical Mechanical Institute
Pada 22 Mei 1903, sekumpulan anak muda telah datang ke Pennsylvania Electrical Mechanical Institute bagi menghadiri parti di tingkat 5 dan 6. Pada pukul 10 malam, 17 orang penumpang telah menaiki lif dari tingkat 1 menuju ke tingkat 6. Apabila sampai di tingkat 6, lif tersebut tiba-tiba menjunam ke bawah dan menghempas lubang lif. Kabel lif tersebut turut terjatuh atas lif dan terkena beberapa orang penumpang. Tetamu lain yang mendengar bunyi bising telah datang ke tempat kejadian dan cuba menghulurkan bantuan. Dalam keadaan panik, beberapa orang tetamu hampir jatuh dalam pintu lif yang masih terbuka. Empat orang penumpang lif meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa hanya dapat dikenalpasti keesokkan hari melalui pengecaman baju. Kejadian itu berlaku disebabkan bilangan penumpang lif yang terlampau ramai (overload) sedangkan had penumpang yang dibenarkan adalah 10-12 orang sahaja.
3. Insiden Minato Ward
Hirosuke Ichikawa merupakan seorang remaja berusia 16 tahun yang tinggal di kawasan perumahan kompleks di Minato Ward, Tokyo, Jepun. Pada Jun 2006, ketika Ichikawa sedang mengundurkan basikalnya dari pintu lif, lif tersebut tiba-tiba tidak berfungsi. Lif tersebut kemudiannya naik ke tingkat atas dalam keadaan pintu yang masih terbuka sepenuhnya. Ichikawa tersepit di pintu lif dan dia disahkan meninggal dunia akibat sesak nafas.
4. Gerhardt “Jerry” Fuchs
Gerhardt “Jerry” Fuchs merupakan pemain drum kumpulan indie rock, Turing Machine dan Maserati. Dia juga turut bermain drum untuk LCD Soundsystem dan Moby. Fuchs juga merupakan artis grafik dan penulis bebas untuk majalah Entertainment Weekly. Pada 8 November 2009, Fuchs terperangkap dalam lif yang rosak. Dia telah meminta bantuan bagi mengeluarkannya dari lif tersebut. Namun, akibat tidak sabar menunggu pasukan penyelamat menyelamatkannya, dia membuat keputusan untuk keluar dari lif itu sendiri. Fuchs cuba melompat keluar dari lif, namun dia terjatuh dalam syaf lif dan meninggal dunia.
5. Sherwood and Caroline Wadsworth
Pasangan ini telah berkongsi hidup selama 60 tahun dan ia berakhir dengan satu kemalangan lif yang tragis hanya kerana kemudahan telefon di kawasan tempat tinggal mereka tidak berfungsi dengan baik. Jiran Wadsworth mula curiga apabila pasangan tersebut sudah lama tidak membuang sampah mereka. Surat khabar yang dihantar di depan pintu rumah juga tidak disentuh. Selepas jiran menghubungi polis, polis terpaksa memecahkan pintu rumah pasangan itu namun mereka hanya menemui kucing peliharaan pasangan tersebut. Ketika polis cuba membuka pintu lif, mereka mendapati lif tersebut berhenti di antara tingkat 2 dan 3. Dalam lif tersebut, polis menemui mayat pasangan Wadsworth terbaring dalam posisi menghadap satu sama lain. Difahamkan, pasangan tersebut meninggal dunia akibat kepanasan ekoran suhu dalam lif yang mencecah 95 darjah.
No comments:
Post a Comment
takkan bca je respon la sikit..toink...